MVFRA VISION - To Be The Leading Volunteer  Fire & Rescue Association in The Region

 


Bomba Sukarela bantu bersih sekolah
Berita Harian,  
Oleh WAN NORAZIAH WAN CHIK

 

Sikap individu yang mementingkan diri sendiri dan tidak prihatin dengan keselesaan orang lain sering menyebabkan timbul isu kekotoran alam sekitar yang sukar dibendung.

Isu ini tidak pernah selesai, secara tidak langsung menyerlahkan sedikit sebanyak  kepincangan  masyarakat dalam menangani masalah yang sepatutnya tidak lagi wujud di Negara ini, setelah sekian lama kempen kebersihan dijalankan oleh kerajaan.

Bagaimanapun terdapat segelintir manusia yang masih sanggup menyumbangkan tenaga untuk menjaga kebersihan.

Ini dibuktikan oleh kira-kira 20 orang anggota Persatuan Bomba Sukarela Jalan San peng, Kuala Lumpur yang menyumbangkan tenaga secara bergotong-royong membersihkan persekitaran Sekolah Rendah Agama Darul Ulum(SRADU), Sungai Udang, Klang, baru-baru ini.

Inisiatif yang diambil oleh anggota Persatuan Bomba Sukarela ini setelah membaca tinjauan yang dibuat keluarga ke sekolah tersebut baru-baru ini yang bukan sahaja didapati tidak terurus dari segi kedudukan sekolahnya, tetapi juga persekitarannya yang kotor.

Langkah anak-anak muda termasuk seorang gadis pasukan sukarela ini, patut dipuji dan dicontohi kerana sikap bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh mereka yang turut dalam menjaga kebersihan alam.

Pengerusi persatuan ini, K.Bala berkata, mereka tergerak hati untuk menganjurkan gotong-royong tersebut setelah memikirkan keselamatan kanak-kanak sekolah tersebut yang tidak terjamin sekiranya terjatuh ke longkang yang dipenuhi sampah sarap itu.

“Saya harap selepas ini tidak ada lagi pihak yang membuang sampah ke longkang itu demi kebaikan bersama,’ujarnya.

Beliau bagaimanapun melahirkan rasa tidak puas hati dengan hasil gotong-royong pada hari itu kerana sambutan yang diberikan oleh ibu-bapa amat menghampakan.

Kesal
Bagaimanapun, dalam keghairahan pasukan itu bergotong-royong membersihkan kawasan itu terdapat sedikit kekesalan kerana sepatutnya langkah tersebut tidak perlu dilakukan sekiranya pihak berkuasa tempatan bertindak terlebih dahulu.

Usaha untuk memastikan persekitaran itu bersih seharusnya dilakukan oleh pihak Majlis Daerah Klang(MDK) serta Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) sendiri.

Persoalannya, adakah keadaan ini wajar dilakukan oleh satu badan atau jawatankuasa yang telah diberi amanah serta tanggungjawab yang sepatutnya diatasi dengan sempurna untuk menjamin kesejahteraan penduduk setempat?

 

Back to Home Page | Main Page


Copyright © MVFRA. All Rights Reserved.
Questions or comments?
Send email to