Utusan Malaysia, Disember 31,
SALAM hantar lima orang bantu mangsa gempa Bam

PETALING JAYA 30 Dis. - Yayasan Salam Malaysia (SALAM) menghantar sepasukan lima orang ke Iran malam ini untuk misi kemanusiaan bagi membantu mangsa gempa bumi yang melanda bandar bam Jumaat lalu.


LIMA anggota Bomba dan Penyelamat Sukarela daripada Yayasan Salam Malaysia (SALAM) (dari kiri) Cody Muniyandi, K. balasupramanaim(Ketua Operasi), Anita Lim Sim Wei, Ramakrishnan Ramasamy dan Noor Amali Mahat bergambar di Petaling Jaya semalam sebelum ke Iran bagi menyertai misi kemanusiaan dan membantu mangsa gempa bumi di bandar Bam, Iran.

Lembaga Pemegang Amanah SALAM, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pasukan itu juga akan membina jalinan kerjasama dengna agensi tempatan dan antarabangsa sama ada kerajaan atau bukan kerajaan sepanjang berada di sana.

"Sepasukan lima orang yang dihantar terdiri daripada pasukan Bomba dan penyelamat Sukarela diketuai Kapten K. Balasupramaniam dan mereka akan berada di sana antara tujuh hingga 10 hari," katanya.

SALAM merupakan badan bukan kerajaan pertama yang menghantar pasukan ke bandar Bam.

Beliau berkata, SALAM juga akan menghantar satu lagi pasukan ke situ selepas pasukan pertama itu pulang ke tanah air pada 7 Januari depan.

"Pemergian pasukan ini melalui pesawat komersial dan dijangka tiba di Tehran esok pukul 9.35 pagi waktu Iran," jelasnya.

Saifuddin menambah, untuk penghantaran dasa kedua nanti, pihaknya mengalu-alukan bantuan dan sukarelawan yang boleh mencari dan menggali sumber air.

Sementara itu, Balasupramaniam yang hadir sama di majlis tersebut berkata, tidak ada peralatan besar-besaran dibawa bersma ke bandar Bam.

"Empat anggota yang terpilih dalam fasa pertama ini mempunyai kepakaran dalam bidang seperti pegawai teknikal kenderaan berat, pegawai perubatan dan kecemasan, juruteknik menyelamat dan operator ketinggian.

"Yang penting, apabila kami tiba di sana, kami akan bekerjasama dengan pusat kejadian dan penyelamat, membuat pemantauan dan penilaian serta menghantar laporan ke pejabat SALAM supaya kita tahu apakah bentuk bantuan yang diperlukan," katanya.

Lain-lain anggota bomba sukarela yang mengikuti misi tersebut ialah Leftenan Cody Muniyandi, Leftenan Anita Lim Sim Wei, Lans-Koperal Noor Amali Mahat dan Konstable Ramakrishnan Ramasamy.

Back to Main Page | Home Page


Copyright © MVFRA. All Rights Reserved.
Questions or comments?
Send email to