MVFRA VISION - To Be The Leading Volunteer  Fire & Rescue Association in The Region

 

Mangsa kebakaran minta pemaju bina semula rumah

AMPANG, Ahad- Mangsa kebakaran rumah panjang Taman Putera Sulaiman di sini, meminta pemaju menimbang semula keputusannya tidak akan membina kembali rumah panjang di tapak kebakaran itu.

Kira-kira 50 mangsa daripada lapan keluarga kini terpaksa menumpang di surau al-Islamiah Taman Nirwana kerana tidak mempunyai tempat tinggal lain.

Seorang mangsa , Mohd Nasir Rasud, 51, berkata pemaju bersedia memberi pampasan kepada mangsa kebakaran sebanyak RM8,000 dan akan ditawarkan rumah kos rendah apabila projek rumah itu siap.

“Bagaimanapun, projek rumah kos rendah itu tidak dinyatakan secara jelas dalam surat mereka bila ia akan dilaksanakan manakala kami pula disuruh mencari penempatan sendiri buat sementara.

“Cuma mereka bersetuju membayar RM8,000 kepada mangsa  kebakaran yang mempunyai dokumen perjanjian dengan pemaju dan sebanyak RM4,000 kepada yang tidak mempunyai dokumen perjanjian itu,”katanya.

Menurutnya, Jawatankuasa Bertindak Rumah Panjang Taman Putera Sulaiman yang dipengerusikan oleh Alias Kasim sudah mengusulkan perkara ini kepada Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun) kawasan Keramat, Datuk Mufti Shuib, bagaimanapun beliau  menyuruh menyelesaikan perkara ini dengan pemaju dahulu sebelum tindakan lanjut.

Jurujual,Azlan Ibrahim,37,berkata keluarganya menhadapi kesukaran untuk mencari tempat tinggal dalam tempoh yang singkat kerana pendapatannya yang kecil.

“Saya dijanjikan pampasan sebanyak RM4,000 oleh pemaju tetapi dengan wang sebanyak itu, saya tidak mampu untuk mencari rumah untuk disewa di kawasan sekitar ini,” katanya.

Beliau juga kurang yakin dengan kandungan surat itu yang tidak ada hitam putih yang dapat meyakinkan mangsa bahawa pemaju memang akan melaksanakan projek rumah kos rendah itu di kawasan yang sudah ditetapkan.

Isterinya, Noorhafsah Mat Ali,38, yang baru melahirkan anak kelima lapan hari lalu bimbang dengan masa depan keluarganya terutama anak sulungnya yang cacat.

Ahli Jawatankuasa Surau al-Islamiah Taman Nirwana, Abdul Ghani Ibrahim,47, berkata pihaknya memberi tempoh seminggu kepada mangsa kebakaran tinggal di surau itu.

“Kami terpaksa memberi tempoh setakat itu kerana akan membuka kelas Taski di surau ini pada sesi persekolahan yang akan bermula disember ini.

Sementara itu, Persatuan Bomba Sukarela Jalan San Peng hari ini menyampaikan sumbangan 10 kotak pakaian dan beg sekolah kepada mangsa kebakaran.

Pengerusinya, K.Bala, berkata sumbangan yang ditaja pusat beli-belah, Metrojaya dan pasaraya Hiong Kong diharap dapat meringankan beban mangsa kebakaran terutama kanak-kanak yang akan masuk sekolah.  

Back to Home Page | Main Page


Copyright © MVFRA. All Rights Reserved.
Questions or comments?
Send email to