Kawasan perumahan Pandan lokasi kritikal serangan denggi
UTUSAN MALAYSIA, 16 January
 

KUALA LUMPUR 16 Jan. - Kawasan perumahan Pandan Jaya, Cheras, di sini dikenal pasti sebagai lokasi kritikal serangan demam denggi berikutan dua kes kematian yang dicatatkan di situ sejak dua minggu lalu.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ong Tee Keat berkata, selain itu kawasan Pandan Jaya juga sehingga kini mencatat 27 kes denggi yang telah dirujuk ke klinik dan hospital.

``Berikutan itu saya bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya Skuad Kecemasan Komuniti telah mengambil langkah turun padang melawat dan bertindak mengatasi punca serangan denggi di Pandan Jaya,'' katanya yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Menurutnya, jangkitan denggi itu banyak dikesan berlaku di kawasan perumahan flat Blok L, Pandan Jaya.

Beliau berkata, penduduk tempatan dan parti politik dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kini aktif menjayakan gotong-royong terutama membersihkan kawasan takungan air yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes di taman-taman perumahan sekitar Ampang dan Cheras.

Beliau memberitahu demikian pada sidang akhbar selepas melawat mangsa denggi di wad Hospital Pantai Indah di Pandan Indah, di sini hari ini.

Menurut Tee Keat, laporan daripada Hospital Pantai Indah juga menunjukkan sehingga kini sebanyak 27 kes denggi telah dirujuk ke hospital swasta itu.

``Saya juga merakamkan penghargaan kepada Hospital Pantai Indah ini kerana memberikan kerjasama pemeriksaan darah secara percuma kepada pesakit yang disyaki mengalami denggi,'' ujarnya.

Di samping itu katanya, beberapa NGO yang diketuai Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela Malaysia akan memulakan kerja membantu mengatasi masalah denggi di Pandan Jaya mulai 25 Januari ini.

Tee Keat berkata, fokus bantuan yang akan diberikan oleh NGO itu ialah dari segi khidmat nasihat dan membersihkan kawasan pembiakan nyamuk aedes sebagai penyebar virus demam denggi.

``Saya juga akan meminta bantuan semua sekolah rendah dan menengah di kawasan Parlimen Pandan ini untuk menyebarkan risalah pencegahan denggi melalui para pelajar supaya penerangan lebih meluas apabila ia dibawa pulang ke rumah masing-masing,'' katanya.

 

Back to Home Page


Copyright © MVFRA. All Rights Reserved.
Questions or comments?
Send email to