MANGSA TSUNAMI ACEH TRAUMA TAKUT  KE KAWASAN  RENDAH
Berita Harian, National 7 Januari


SEPANG: Mangsa tsunami di Aceh, Indonesia yang berjaya menyelamat diri  ke kawasan tinggi mengalami trauma teruk sehingga takut turun ke kawasn rendah untuk menerima bantuan kerana bimbang bencana itu akan berulang.

Berikut itu, pasukan bantuan dan penyelamat terpaksa menghantar makanan dan ubat-ubatan kepada mereka di pedalaman yang terpaksa mengambil masa hampir enam jam dari pusat bantuan berhampiran lapangan terbang.  

ANGGOTA MVFRA mengagihkan makanan kepada penduduk Aceh yang menjadi mangsa bencana tsunami.

Ketua Operasi Persatuan Sukarelawan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( MVFRA), Kapten K. Balasupramaniam, berkata sepanjang tempoh seminggu berada di sana, pasukannya mendapati penduduk di daerah berkenaan benar-benar memerlukan bantuan luar untuk pulih.

“ Mereka takut turun ke pusat bantuan kerana percaya tsunami akan berulang. Jadi kami terpaksa menghantar bekalan makanan kepada mangsa bagi memastikan mereka terus hidup.”

Ada juga mangsa hidup yang ditemui tersangkut di atas pokok takut  untuk turun kerana terlalu fobia dengan apa yang berlalu. Keadaan di sana sangat teruk dan mereka sangat memerlukan sokongan untuk hidup”, katanya ketika ditemui semalam.

Beliau bersama lima anggota MVFRA tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA), malam tadi selepas seminggu berada di Aceh bagi membantu mangsa bencana itu. Mereka dihantar ke Aceh atas tajaan Yayasan Salam dan Syarikat Penerbangan Malaysia ( MAS).

Lima lagi anggota sukarelawan terbabit ialah Anita Lim Sim Wei, Teresa Lim Sim Lee, Sharul Ariffin, Amali Mahat dan Ramakhrisnan Ramasami.

Balasupramaniam berkata, pasukan bantuan menghadapi masalah mendapatkan kenderaan menghantar makanan kepada mangsa dan kebanyakan yang digunakan ketika ini dibawa khas dari Jakarta dan Medan.

K BALASUPRAMANIAM (kanan) bersama anggota MVFRA tiba di KLIA, malam tadi

Sepanjang berkhidmat di sana, katanya Jalur Gemilang yang dikibarkan pada kenderaan pasukan bantuan dan penyelamat di jadikan ‘ pasport’ untuk bergerak ke pedalaman kerana ia cukup dihormati penduduk tempatan dan pasukan lain.

Ini kerana, penduduk tempatan terutaman di pedalaman yang lari ke kawasan bukit lebih yakin dan percaya kepada pasukan bantuan Malaysia walaupun ada pasukan penyelamat lain di dalam konvoi yang sama.

Rakannya, Ramakrishnan berkata, seluruh kawasan kejadian berbau busuk akibat mayat reput sehinggakan beliau tidak lalu makan sepanjang minggu dan hanya makan coklat untuk mengekalkan tenaga.

“ Kami tidak mempunyai masa untuk memasak dan tiada selera makan kerana terlalu busuk. Kami hanya makan coklat dan air untuk memastikan tenaga kekal, “ katanya.

Sharul pula berkata, beliau sangat terkejut dengan keadaan yang menimpa kawasan berkenaan kerana jauh berbeza daripad maklumat yang diperolehi ketika taklimat sebelum bertolak ke sana.

“ Mayat bergelimpangan di merata tempat dan keadaan begitu menyayat hati. Tugasan utaman kami ialah membantu mangsa yang masih hidup, jangan biarkan mereka mati kelaparan atau sakit, “ katanya

Selain itu, katanya bantuan makanan juga terpaksa dihantar terus kepada mangsa di kawasan penempatan sementara dand bukan melalui ornag tengah atau ketua kumpulan kerana banyak kes penipuan dilaporkan berlaku membabitkan bantuan makanan atau ubatan.

Back to Home Page


Copyright © MVFRA. All Rights Reserved.
Questions or comments?
Send email to