Jumaat, 09 Januari

Salam cari dua sukarelawan ke Iran

PETALING JAYA: Yayasan Salam Malaysia (Salam) sedang mencari dua sukarelawan untuk dihantar ke bandar Bam, Iran bagi memberi bantuan dari segi penyediaan infrastruktur dan rawatan air bersih berikutan gempa bumi baru-baru ini.

Pemegang Amanah yayasan berkenaan, Datuk Shaifuddin Abdullah, berkata penghantaran kumpulan kedua itu akan dilaksanakan jika ada sukarelawan yang berkelayakan terutama yang mahir dalam kedua-dua bidang berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini semalam sempena kepulangan kumpulan pertama sukarelawan Salam serta Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela Malaysia (MVFRA) dari Bam. Turut hadir, Pengarah Eksekutif Salam, Paul Selva Raj.

Pasukan sukarelawan itu yang diketuai Pengerusi MVFRA, K Balasupramaniam berada di Iran selama tujuh hari mulai 31 Disember lalu bagi menjalankan misi bantuan kemanusiaan dan menyertai usaha mengesan serta membantu berpuluh ribu mangsa gempa bumi.

Shaifuddin juga menyeru orang perseorangan dan pihak yang prihatin untuk menderma tandas bergerak untuk dihantar ke sana dan Salam sedia menanggung kos penghantarannya.

Sementara itu, Kapten Sukarelawan, K Balasupramaniam, 30, ketika menceritakan pengalamannya berkata, kemudahan itu perlu bagi menjamin kesihatan mangsa.

“Bayangkan dengan bilangan khemah yang terlalu banyak tetapi tiada tandas yang menjadi keperluan asas tentu menyukarkan mereka dan menyebabkan penyakit mudah merebak.

“Khemah yang didiami kumpulan sukarelawan juga hanya disediakan satu tandas dan terpaksa dikongsi dengan 60 yang lain setiap pagi,” katanya.

Balasupramaniam berkata, sepanjang di sana pihak berkuasa dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Iran memberikan kerjasama yang baik dan memudahkan pergerakan mereka.

Katanya, selama tiga setengah hari di Bam, mereka berjaya membantu mengeluarkan lima mayat mangsa yang tersepit di celah runtuhan bangunan dan terpaksa bertungkus-lumus kerana struktur bangunan agak berbeza sedikit kerana dibina bersama lumpur.

Pasukan sukarelawan kumpulan pertama Yayasan Salam-MVFRA itu turut disertai Pegawai Teknikal Kody Muniyandi, 43; Paramedik Lim Sim Wei, 30; Teknikal Penyelamat Noor Amali Mahat, 25; dan Pakar Operasi Menyelamat Jarak Tinggi, Ramakrishnan Ramasamy, 38.

Back to Main Page | Home Page


Copyright © MVFRA. All Rights Reserved.
Questions or comments?
Send email to