02 Januari, 08:24 AM
Kumpulan Persatuan Sukarelawan Bomba Malaysia Tiba Di Kerman
Daripada Shahrullizan Rusli
KERMAN, 2 Jan (Bernama) -- Satu pasukan lima anggota Persatuan Sukarelawan Bomba dan Penyelamat Antarabangsa Malaysia (MIVFRA) Khamis tiba ke bandaraya Kerman, kira-kira 120km dari bandar Bam, kawasan yang dilanda gempa bumi Jumaat lalu, untuk menyertai lain-lain agensi antarabangsa menghulur bantuan kepada mangsa bencana alam itu.
Pasukan yang diketuai oleh Pegawai Operasi MIVFRA, Kapten K. Balasupramaniam itu tiba di Tehran dari Kuala Lumpur, Malaysia Khamis bersama-sama dengan pasukan berita dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).
Mereka akan berlepas ke Bam Jumaat untuk menyertai dua lagi agensi kemanusiaan dari Malaysia iaitu Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) dan Persatuan Bulan Sabit Merah yang sudah berada di bandar bersejarah tersebut.
Sementara itu suasana kelam kabut jelas kelihatan di ruang legar Lapangan Terbang Kerman, di sini apabila ia dijadikan penempatan sementara untuk kira-kira 50 mangsa kejadian gempa bumi itu.
Menurut Dr. Naameez Arshad dari Persatuan Palang Merah Antarabangsa, lapangan terbang itu dijadikan penempatan sementara mangsa ekoran lapan hospital di bandaraya itu sudah sesak dengan mangsa yang cedera.
Beliau memberitahu bahawa dua hospital di Bam telah musnah akibat gempa bumi itu.
"Secara purata setiap hari ada 50 perjalanan dibuat oleh ambulan untuk membawa pesakit dari Bam ke sini, manakala mereka yang cedera teruk akan dibawa oleh helikopter Tentera Iran," katanya kepada Bernama di sini.
Menurut beliau, perjalanan ke Bam yang lazimnya hanya mengambil masa selama dua jam sebelum ini, kini menjadi tiga jam ekoran kesesakan jalan raya yang teruk.
"Ubat-ubatan mencukupi, tapi kami juga mengharapkan apa sahaja bantuan yang dapat dihulurkan masyarakat antarabangsa. Kami juga perlukan lebih ramai sukarelawan disebabkan operasi yang besar di sini," katanya.
Beliau berkata jumlah mangsa yang cedera adalah terlalu ramai untuk ditangani oleh Persatuan Palang Merah di sini.
Balasupramaniam berkata pihaknya juga akan membuat pemantauan untuk Yayasan SALAM, sebuah lagi pertubuhan sukarelawan Malaysia yang merancang untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Bam.
Gempa bumi yang berukuran 6.3 pada skala Richter itu merupakan yang terbesar di Iran dalam tempoh 10 tahun dan telah mengorbankan kira-kira 35,000 nyawa setakat ini.
Angka itu dijangka akan terus meningkat dan Kementerian Dalam Negeri Iran melaporkan masih banyak perkampungan yang belum terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat secara sepenuhnya.
-- BERNAMA
Back to Main Page | Home Page