January 31,  

Yo!diari perantau, UTUSAN MALAYSIA SABTU
Bam Musnah Sekelip Mata
Oleh K. Balasupramaniam (Ketua Misi Kemanusiaan MVFRA ke Iran baru-baru ini).

Kejadian gempa bumi di Bam, Iran baru-baru ini mengejutkan seluruh dunia. Imej kemusnahan teruk dan korban yang bukan sedikit jumlahnya yang dipaparkan di kaca televisyen amat menyayat hati.

Bangunan seolah menjadi debu dan seluruh bandar musnah dalam sekelip mata.

Kesempatan melihat sendiri kesan bencana yang meragut puluhan ribu nyawa memberi keinsafan bukan sahaja kepada penulis tetapi juga empat lagi anggota Pasukan Bomba Dan Penyelamat Sukarela Malaysia (MVFRA) yang mengadakan misi kemanusiaan anjuran Yayasan Salam di negara itu, baru-baru ini.

Selain penulis yang bertindak sebagai ketua operasi, empat anggota MVFRA yang terlibat mempunyai kemahiran dan tugas masing-masing.

Cody Muniyandi berperanan sebagai pegawai teknikal, Anita Lim memiliki kepakaran perubatan, Noor Amali Mahat (menyelamat dan mencari) manakala R. Ramakrishnan (Operasi tempat tinggi).

Objektif utama misi MVFRA itu ialah mendapat maklumat terperinci tentang jenis bantuan segera dan jangka panjang yang diperlukan mangsa dan organisasi terlibat, selain membantu mangsa.

Kami bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Tehran pada 30 Disember .

Dengan segala persiapan yang lengkap kami berharap agar mampu menghadapi misi ini tanpa sebarang halangan.

Kumpulan kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tehran pada 31 Disember dan ketika itu tempat tersebut diliputi salji.

Ketika kali pertama menjejakkan kaki di Bam pada 11 Januari , kami seakan tidak percaya melihat kemusnahan besar yang berlaku. Seluruh bandar ranap.

Sepanjang perjalanan, di kira dan kanan kami dipenuhi dengan runtuhan bangunan serta khemah sementara yang menempatkan mangsa.

Penduduk membawa pasukan MVFRA melihat kemusnahan di sekitar kawasan tersebut.

Suasana yang dilihat sangat menyedihkan dan sukar untuk digambar dengan kata-kata. Kawasan bencana sangat luas dan runtuhan serta serpihan bangunan berada di semua tempat.

Pasukan kami diberi lokasi untuk mendirikan khemah, peta lokasi bencana, kawasan kawalan serta sebuah kenderaan dan pemandu oleh Pusat Komunikasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOSCC) yang bertindak sebagai pusat informasi serta koordinasi.

Kami juga diberitahu supaya tidak mengambil gambar mayat, anggota beruniform seperti polis dan tentera, serta apa-apa bentuk perlakuan yang membawa simpati atau kesedihan orang lain.

Hari pertama, kami membantu mengeluarkan seorang korban runtuhan menggunakan segala kepakaran dan peralatan yang dibawa.

Pada hari kedua, kami berdepan situasi sama dan mengeluarkan dua lagi mayat dari runtuhan bangunan.

Namun empat hari seterusnya kami tidak pula menemui sebarang kejadian serupa dan menjalankan kerja pemantauan biasa.

Kami juga memberi makanan yang dibawa kepada kanak-kanak yang kelaparan dan kesejukan selepas tempat tinggal mereka musnah sama sekali.

Komunikasi sememangnya menjadi masalah utama kerana kebanyakan penduduk di sana tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris.

Hasil penelitian, kami mendapati bahawa ketiadaan sistem saliran dan pembentungan najis menjadi masalah utama yang boleh menyebabkan kewujudan pelbagai jenis penyakit kepada mangsa.

Justeru, penghantaran tandas bergerak mampu menyelesaikan masalah tersebut sekali gus menghalang penyakit daripada merebak.

Misi tersebut amat berharga kerana ia menambah pengalaman kami dalam menghadapi sebarang bencana pada masa depan.

Lebih penting lagi ia membuka laluan kepada pasukan kedua MVFRA yang akan dihantar ke Iran tidak lama lagi kerana mereka dapat memanfaatkan maklumat yang kami kumpul sepanjang berada di sana.

Pengalaman melihat mangsa dan suasana di negara itu membuat kami insaf kesenangan dan nikmat yang ada di Malaysia.

Tujuh hari di sana semakin menguatkan perasaan cinta dan sayangkan negara sendiri.

Ketika kapal terbang yang membawa kami mendarat di KLIA, hati saya berkata :" sesungguhnya saya amat bertuah lahir di bumi Malaysia."

oleh Vol. Capt. K. Balasupramaniam
Ketua Misi Kemanusiaan Bam, Iran
Email :

 

Back to Main Page | Home Page


Copyright © MVFRA. All Rights Reserved.
Questions or comments?
Send email to