Mangsa api dapat bantuan
BERITA HARIAN,PETALING JAYA, Ahad-Sebanyak 24 keluarga mangsa kebakaran di Jalan 229 di sini, minggu lalu, menerima bantuan pakaian dan keperluan asas daripada Persatuan Bomba Sukarela Jalan San Peng Kuala Lumpur.
Sumbangan persatuan itu disampaikan oleh Pengerusinya, K.Bala di majlis ringkas di Balai Raya Lorong 227A, pagi ini.
Beliau berkata bantuan yang disampaikan kepada mangsa kebakaran itu adalah hasil sumbangan orang ramai, badan sukarela dan pertubuhan melalui persatuan itu.
“ Ini adalah sebahagian sumbangan kami kepada mangsa kebakaran yang kehilangan harta benda dan rumah mereka,” katanya.
Menurutnya, persatuan itu akan terus menerima bantuan pihak yang ingin menderma untuk disalurkan kepada yang memerlukan.
Beliau berharap lebih banyak akan menghulurkan derma dalam bentuk sumbangan pakaian atau wang.
Pada 25 Februari lalu, kebakaran di Kampung Baiduri Jalan 229 memusnahkan hampir 20 rumah termasuk empat bengkel dan sebuah kedai runcit. Dua kereta turut hangus dalam kejadian itu.
Copyright © MVFRA. All Rights Reserved.
Questions or comments?
Send email to